Menurut satu kajian yang dijalankan di UCLA Schools of Public Health telah mendapati 2 jenis bahan kimia yang boleh dikaitkan dengan ketidaksuburan di kalangan wanita. Bahan-bahan kimia tersebut adalah perfluorooctanoate (PFOA) dan perfluorooctane sulfonate (PFOS) yang biasa terkandung dalam produk-produk kegunaan harian seperti produk penjagaan diri, pakaian, karpet, kuali dan juga biasa digunakan dalam proses pembungkusan makanan.

toksik

Struktur Kimia PFOA

Kajian ini telah diterbitkan dalam sebuah jurnal perubatan, Human Reproduction. Kajian tersebut mendapati bahawa wanita yang mengandungi aras PFOA dan PFOS yang tinggi dalam darah akan mengambil masa yang lebih lama untuk hamil.

Para pengkaji tersebut telah memperolehi data dari Danish National Birth Cohort yang melibatkan 1,240 wanita. Mereka membuat rumusan bahawa kedua-dua bahan kimia tersebut akan meningkatkan kebarangkalian untuk gagal hamil diantara 60%-150%.


http://www.ivfnewsdirect.com/?p=219




Menurut Jorn Olsen, dari jabatan epidemiologi UCLA Schools of Public Health, ini merupakan kajian pertama terhadap perkaitan antara PFOA dan PFOS dan ketidaksuburan. Mereka akan membuat kajian selanjutnya untuk mengesahkan lagi perkara ini.

Mereka juga percaya bahawa PFC ini juga memberi kesan terhadap kualiti sperma. Oleh itu, kajian terhadap lelaki juga perlu dilakukan kerana lelaki juga terdedah kepada kesan PFC ini memandangkan pasangan suami isteri akan menjalani gaya hidup yang sama dan sama-sama terdedah kepada risiko PFC.

Walaubagaimanapun, mereka masih belum jelas bagaimana mekanisme biologi yang terlibat dalam PFOS dan PFOA yang memberi kesan terhadap kesuburan. Adalah dipercayai bahawa PFC mungkin akan mempengaruhi hormon-hormon reproduktif.

Apakah PFOA dan PFOS?

PFOA dan PFOS adalah jenis toksin yang dikategorikan sebagai Perfluourinated Chemicals(PFC). Kedua-duanya dianggap sebagai tidak aktif secara biologi, namun kajian terkini tentang kesannya terhadap haiwan telah menunjukkan bahawa ia juga mempunyai kesan toksik terhadap hati, sistem imun dan sistem reproduktif.

Menurut anggaran U.S. Environmental Protection Agency (EPA), 90% populasi di US mengandungi PFOA dalam darah mereka dan sebahagian kecil dari mereka yang mengandungi aras PFOA yang tinggi biasanya adalah pekerja-pekerja kilang yang berhubungan secara langsung dengan bahan-bahan ini.

Manakala The National Center for Health Statistics (NCHS) melaporkan bahawa pada 2002 terdapat 7.3 juta wanita Amerika yang berumur diantara 15-44 tahun mengalami masalah kesuburan.

Adakah kedua-dua laporan ini mempunyai perkaitan? Mungkinkah ini yang menjadi punca kepada peningkatan masalah kesuburan yang mana selama ini pakar-pakar perubatan mengistilahkan perkara ini sebagai ’Unexplained Infertility’?

PFOA dan PFOS ini adalah bahan sintetik. Bagaimana ia boleh berada dalam darah?

Pada 1947, syarikat3M yang mula-mula menghasilkan PFOA melalui kaedah elecrochemical fluorination. Manakala pada 1951, DuPont mula menggunakan PFOA dalam proses pengeluaran. PFOA adalah bahan penting dalam proses penghasilan Teflon, hasil ciptaan syarikat DuPont yang telah mendapat berbagai anugerah. Apa itu Teflon? Teruskan membaca.

DuPont telah mendapat saman dari U.S. Environmental Protection Agency kerana telah menjadi punca pencemaran PFOA dalam bekalan air.

Isu pencemaran PFOA dalam bekalan air ini sangat membimbangkan di US.


http://www.healthysanbernardinocounty.org/modules.php?op=modload&name=PromisePractice&file=promisePractice&pid=1057


Tapi itu di US, bagaimana pula di negara-negara lain.

Didapati bahawa bekalan air Jepun juga tergugat.


http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/14960830

Begitu juga dengan beberapa negara lain.

Tapi, bagaimana pula dengan negara kita, Malaysia? Adakah kita juga terdedah dengan risiko ini? Adakah terdapat sebarang kajian pernah dilakukan?

Sebenarnya ada. Terdapat satu kajian telah dijalankan dimana 473 sampel darah telah diambil dari beberapa buah negara iaitu US, Colombia, Brazil, Belgium, Italy, Poland, India, Korea dan Malaysia.

Mereka mendapati bahawa kandungan PFOS paling banyak didapati dari sampel-sampel darah dari US dan Poland. Manakala ia dalam kuantiti sederhana bagi Korea, Belgium, Brazil, Italy, Colombia dan Malaysia. India pula menunjukkan kandunagn PFOS yang rendah dalam darah.


http://pubs.acs.org/doi/abs/10.1021/es0493446


Tetapi kami tak pasti adakah bekalan air di negara kita juga tercemar dengan PFOA? Mungkin setelah membaca artikel ini, bagi mereka yang belum ada penapis air, boleh mula mengumpul duit bagi beberapa bulan yang akan datang untuk mendapatkan penapis-penapis air dari mana-mana pasaraya atau syarikat jualan langsung. Mereka mendakwa bahawa penapis air mereka boleh menapis segala bahan-bahan kimia ini.

Jadi, apa itu teflon?

Teflon mengandungi PFC dan ia digunakan sebagai lapisan dalam produk-produk kuali tak melekat atau ’non stick cookware’. Jadi, adakah ia merbahaya dan menjadi punca pencemaran PFC dalam darah kita? Panjang ceritanya tu, klik link di bawah untuk maklumat lanjut.


http://tuberose.com/Teflon.html


Sehingga kini, DuPont tetap menafikan bahawa teflon merbahaya kepada kesihatan. Biasalah, bisnes.

Mungkin ada yang akan bertanya, ‘macam mana nak elakkan diri dari perkara ini?’. Itu adalah satu persoalan yang sukar dijawab kerana gaya hidup moden yang telah kita lalui sejak sekian lama sudah terlalu sebati dalam diri kita.

Jadi, sebagai langkah pertama yang boleh kita ambil antaranya adalah dapatkan penapis air(mudah-mudahan ia dapat menapis bahan-bahan toksik seperti yang didakwa syarikat pengeluar) dan kalau menggoreng ikan tu, pastikan minyaknya betul-betul panas sebelum letakkan ikan di kuali supaya ikan tu tak melekat di kuali. Jadi tak perlulah beli kuali yang ’mahal’ tu.

Selain dari kesan keatas ketidaksuburan, mungkinkah bahan-bahan toksik lain yang terkandung dalam pemakanan kita hari ini juga merupakan penyebab kepada penyakit-penyakit moden yang lain seperti kanser yang mana sehingga hari ini tidak dapat dipastikan lagi punca-punca sebenarnya.